Pahang, PDRM penghuni baru Liga Perdana.
Kelana Jaya – Format Liga Malaysia 2009 jelas tidak mengalami rombakan besar sebagaimana yang digembar-gemburkan sebelum ini. Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia mengekalkan format asal yang dipersetujui dua tahun yang lalu.
Ini bermakna pasukan Pahang dan PDRM bakal menjadi penghuni baru Liga Perdana musim hadapan. Manakala naib juara Liga Perdana musim ini, pasukan PBDKT/T-Team dan pasukan tempat ketiga – Johor dinaikkan pangkat dan akan beraksi dalam kempen Liga Super musim hadapan.
Keputusan ini diumumkan oleh Datuk Haji Che Mat Jusoh, Pengerusi JKPT FAM dalam sidang akhbar sebaik sahaja pengundian Piala Malaysia selesai berlangsung di Wisma FAM petang tadi.
“ Pasukan Harimau Muda akan kekal beraksi dalam Liga Perdana sebagai salah satu cara pendedahan berterusan untuk skuad pelapis kebangsaan itu “ jelas Datuk Haji Che Mat.
“ Pasukan Liga Super 2010 akan disertai oleh 14 buah pasukan dan pihak FAM juga sedang memikirkan untuk men jemput sebuah lagi pasukan dari kalangan skuad pelapis kebangsaan (selain Harimau Muda) yang belum diberi nama lagi untuk beraksi dalam Liga Super “ ujarnya.
Sekiranya ianya terjadi, keputusan tersebut tentunya mengundang persepsi kurang bagus memandang jumlah pasukan angka menjadi 15 – satu angka ganjil yang tidak harus terjadi lagi dalam kempen liga di negara kita.
“ Itu belum kita muktamadkan lagi…kita akan bincang dan perhalusi selepas ini “ katanya.
Sementara itu, Datuk Haji Che Mat Jusoh juga menjelaskan bahawa peraturan Liga Malaysia musim hadapan akan diperketatkan bagi mengelakkan pelbagai masalah melanda khususnya pada pertengahan musim.
Ujarnya setiap pasukan yang bertanding pada musim hadapan perlu menyelesaikan sebarang masalah kewangan yang tertunda seperti caruman pemain, insuran, cukai dan sebagainya dalam tahun ini juga.
“ Pihak FAM memberi tempoh sehingga 30 November 2009 untuk kesemua pasukan dan persatuan negeri menyelesaikan masalah yang tertunggak …..sekiranya gagal berbuat demikian pihak FAM boleh membatalkan penyertaan mana-mana pasukan “ ujarnya.
Bagi penyertaan musim liga akan datang, pihak FAM turut menetapkan setiap pasukan Liga Super yang bertanding haruslah mempunyai sumber kewangan RM2.5 juta, pasukan Liga Perdana RM 1.5 juta, pasukan dalam Piala FAM sebanyak RM500 ribu dan pasukan Piala Presiden sebanyak RM 300 sehingga RM 500 ribu.
Sebagai syarat tambahan, pihak FAM turut mengenakan deposit pendahuluan kepada sesebuah pasukan yang bertanding termasuklah dalam Liga Piala FAM. Pasukan Liga Super dikenakan sebanyak RM 150,000, Liga Perdana RM 100,000 dan Piala FAM sebanyak RM 30,000.
“ Kita mengambil langkah sedemikian bagi mencegah mana-mana FA negeri yang gagal menbayar gaji pemain pada musim hadapan….dan kita akan memotong deposit mereka dengan membayar gaji pemain tersebut sekiranya FA negeri gagal berbuat demikian “ jelasnya lagi.
“ Suka saya ingatkan kepada FA negeri bahawa tarikh tutup untuk pembayaran deposit ini ialah sebelum atau pada 14 Oktober 2009 “ katanya.
Menurutnya lagi, untuk musim hadapan pasukan Liga Super haruslah dibarisi oleh 100 % pemain professional manakala bagi pasukan Liga Perdana perlu memenuhi 10 % pemain professional.
“ Tiada had umur bagi pemain dalam Liga Super dan Liga Perdana berbanding Liga FAM yang mana kita hadkan umur dibawah 28 tahun sahaja “
Datuk Haji Che Mat Jusoh turut mengingkatkan kepada kesemua FA negeri bahawa tiada jaminan untuk mereka kekal beraksi dalam Liga Super sekiranya FA negeri gagal mematuhi peraturan yang telah dipersetujui dan ditetapkan oleh pihak FAM.
“ Tiada jaminan buat mereka sekiranya gagal mematuhi syarat FAM……bahkan pasukan dari Liga Perdana sekiranya berkemampuan dan memenuhi syarat boleh menggantikan tempat mereka dalam Liga Super “ jelasnya lagi.
Sementara itu, Datuk Haji Che Mat juga turut mengumumkan bahawa untuk kempen Piala Malaysia tahun hadapan, hanya 16 pasukan sahaja yang akan beraksi.
“ Hanya 12 pasukan daripada Liga Super dan 4 pasukan daripada Liga Perdana akan beraksi dalam kempen Piala Malaysia musim 2010…..dan ianya terbuka kepada semua pasukan negeri dan kelab yang terbaik sahaja. Tidak seperti penyertaan pada musim ini “ ujarnya lagi.
Berikut adalah senarai pasukan yang akan beraksi dalam Liga Malaysia 2010
Liga Super – Selangor, Perlis, Kedah, Johor FC, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur Plus FC, Kedah Kuala Muda Naza, Pulau Pinang, Perak, Perak UPB/ Myteam, Johor dan PBDKT/T-Team.
Liga Perdana – Harimau Muda, Melaka, Sarawak, Kuala Lumpur, Selangor Proton FC, Kuala Lumpur Felda United, Sabah, ATM, Selangor PKNS, Kuantan Port/Shahzan Muda, Pahang, PDRM dan Kuala Lumpur Pos Malaysia dan KSK Tambun Tulang Perlis.
MALAM kelmarin, satu sejarah telah tercipta di Stadium Shah Alam.
Bukan kerana Selangor muncul juara Liga Super buat kali pertama tetapi sejarah yang dimaksudkan ialah Pahang yang buat pertama kalinya tersingkir ke saingan liga bawahan sejak liga semi-pro diperkenalkan pada 1989.
Kekalahan 1-5 kepada Selangor malam kelmarin menyebabkan skuad Tok Gajah bimbingan Dollah Salleh itu menamatkan 26 perlawanan Liga Super musim ini di tangga kedua tercorot.
Secara automatik, dua pasukan tercorot Liga Super akan tersingkir ke Liga Perdana musim berikutnya.
Namun, pada Kongres Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ke-46 pada 21 Jun lalu, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah selaku Presiden FAM biarpun tidak hadir sempat menyampaikan titahnya menerusi Timbalan Presiden FAM, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad yang mahu- kan format Liga Malaysia dirombak musim depan.
Pemerhati dan juga peminat bola sepak tempatan melihat cadangan Presi- den FAM itu secara umumnya mahu me- nyelamatkan pasukan Pahang daripada beraksi di saingan liga bawahan pada musim depan.
Kenapa perlu diubah format liga yang dilihat sudah stabil sedangkan FAM sepatutnya perlu mencari jalan untuk memperkasakan lagi saingan liga sedia ada?
Jika masalah kewangan pasukan-pasukan bertanding dijadikan alasan, kenapa pula format yang perlu dipersalah- kan sedangkan pihak yang terlibat itu sepatutnya mencari jalan bagi menyele- saikan masalah kewangan tersebut.
Tindakan mahu mengubah format liga musim depan sebenarnya 'ulangan' kepada tindakan FAM ketika mereka menukar format Liga Malaysia untuk musim 2007 sejurus berakhir saingan musim 2006.
Pada musim 2004, 2005 dan 2006, FAM menetapkan lapan pasukan sahaja beraksi pada Liga Super tetapi mereka membuat keputusan mengubahnya kepada 14 pasukan untuk musim 2007.
Alasan yang sama digunakan FAM ketika itu iaitu mahu Liga Super lebih kompetitif sedangkan pada saingan 2006 itu, Pahang menduduki tangga ketujuh daripada lapan pasukan dan sepatutnya turun ke Liga Perdana musim 2007.
Disebabkan perubahan format baru itu, Pahang tidak disingkirkan ke Liga Perdana, sebaliknya diberi peluang beraksi dalam saingan playoff bagi menentukan 14 pasukan yang layak beraksi pada Liga Super format baru pada 2007.
Pada perlawanan playoff pertama iaitu pada 18 dan 21 Jun 2006, Pahang tewas dengan agregat 1-2 kepada Brunei DPMM selepas seri 0-0 pada perlawanan di tempat sendiri sebelum tewas 1-2 di tempat lawan.
Namun, Pahang diberi peluang kedua apabila bertemu Sabah pula dalam perlawanan playoff kedua pada 25 dan 28 Jun 2006 dan kali ini mereka berjaya juga ke Liga Super selepas menang dengan agregat 4-3.
Menjelang perbincangan format baru di antara FAM dan barisan setiausaha agung persatuan bola sepak (FA) negeri dan kelab yang akan berlangsung pada 3 Ogos depan, mereka sepatutnya membuat satu keputusan terbaik demi menjaga maruah bola sepak negara.
Buat Presiden FAM, biarlah pasukan yang layak beraksi dalam Liga Super sahaja dibenarkan bertanding kerana jika baginda tetap mahukan Pahang kekal dalam Liga Super, ia hanya akan mencacatkan kemeriahan saingan.
Ini kerana berdasarkan prestasi pasukan Pahang musim ini, hanya saingan Liga Perdana lebih sesuai buat mereka, bukannya saingan Liga Super.
Biarlah Pahang kembali layak ke Liga Super 2011 berdasarkan merit dua pasu- kan teratas Liga Perdana 2010, bukan- nya atas 'ihsan'.