PETALING JAYA - Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah meletakkan empat syarat buat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) yang akan kembali menggunakan kembali Stadium Sultan Muhammed IV sebagai gelanggang tuan rumah Selasa depan.
Menurut pengerusinya, Datuk Che Mat Jusoh, sesi perbincangan panjang lebar dalam mesyuarat semalam telah mengkaji dari semua aspek untuk empat syarat yang ditetapkan itu.
"Walaupun hukuman yang dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM iaitu tidak boleh beraksi di Stadium Sultan Muhammed IV sudah ditarik balik tetapi KAFA perlu mematuhi syarat yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan," katanya selepas mesyuarat di Wisma FAM semalam.
Jelasnya, Kelantan boleh menggunakan stadium tersebut sebagai gelanggang tuan rumah pada 16 Jun ini serta mana-mana perlawanan berikutnya sekiranya berjaya memenuhi syarat empat syarat yang ditetapkan.
"Syarat yang pertama ialah tidak dibenarkan sebarang acara lain diadakan di luar stadium semasa perlawanan berlangsung terutama sekali di bahagian laluan pasukan pelawat.
"Kedua kami berharap pihak persatuan dapat mengubah kaunter jualan tiket di pintu utama ke tempat lain yang lebih sesuai," katanya.
Kata Che Mat, syarat yang ketiga ialah menyediakan terowong laluan buat pemain untuk memasuki padang.
"Manakala syarat yang keempat, kami mahu KAFA memberi jaminan bahawa pihak polis sudah bersedia sepenuhnya bersama unit- unit tertentu sepanjang perlawanan berlangsung.
"Sekiranya keempat-empat syarat tersebut tidak berjaya dipenuhi KAFA kami akan menimbang semula hukuman, sama ada diteruskan atau ditarik balik," katanya.
Bagaimanapun Che Mat yakin semua syarat tersebut mampu dilaksanakan oleh KAFA.
"Kami akan menghantar surat secara rasmi berhubung syarat-syarat tersebut melalui Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad hari ini (semalam).
"Sementara itu mesyuarat khas beserta dengan lawatan akan dijalankan oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Ahad ini pada pukul 12.00 tengah hari untuk memastikan semua syarat tersebut telah dipatuhi," katanya.
Tambahnya, Jawatankuasa Pertandingan Tempatan amat berharap KAFA mampu berunding dengan pihak polis dan kerajaan negeri berhubung syarat-syarat tersebut.
"Kami berharap agar penyokong setia Kelantan tidak mengulangi lagi perbuatan yang mereka lakukan sebelum ini," katanya.
Selepas dua kali mengemukakan rayuan kepada FAM Kelantan akhirnya dibenarkan beraksi semula di Stadium Sultan Muhammed IV sebagai gelanggang tuan rumah 29 Mei lalu.
Kelantan sebelum ini dihukum beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai gelanggang tuan rumah selepas penyokong mereka membakar kenderaan polis, merosakkan harta benda awam dan individu serta merusuh setelah tidak berpuas hati dengan kekalahan 0-1 kepada Negeri Sembilan 31 Mac lalu.
Post a Comment