Jun 1, 09 12:23am |
Istana Kelantan bergegar lagi dengan dakwaan bahawa seorang puteranya Tengku Muhammad Fakhry Petra mendera isterinya, seorang bekas model muda Indonesia, Manohara Odelia Pinot. Manohara Odelia (foto terbaru, kanan) melarikan diri ke Jakarta dari Singapura semalam apabila berada di republik pulau itu untuk menziarahi bapa mertuanya Sultan Kelantan yang sedang mendapatkan rawatan kesihatan. Akhbar dalam talian Detik.com tengah malam ini melaporkan, ibu Manohara Odelia mendakwa ada kesan seterika di dahi anaknya, selain kesan luka di bahagian dada. Bekas model itu dilaporkan akan mengadakan pemeriksaan kesihatan pagi esok, selain pemeriksaan psikiatri. Hasil pemeriksaan perubatan itu akan diserahkan kepada peguam mereka, lapor akhbar berpengaruh itu. Memetik wawancara Manohara Odelia yang disiarkan secara langsung dengan sebuah stesen televisyen TV One di Jakarta, akhbar itu melaporkan wanita itu menyalahkan pihak istana yang mengetahui nasib buruk yang dialaminya tetapi tidak bertindak membelanya. Beliau malah mendakwa foto yang menunjukkan beliau dilukakan di bahagian dada telah diserahkan kepada polis Malaysia tetapi tiada tindakan diambil, lapor akhbar itu lagi. Manohara Odelia juga menyalahkan media massa negara ini yang sering memberikan gambaran bahawa beliau sentiasa dalam keadaan baik. "Bantuan media di Malaysia tidak ada. Mereka hanya memfoto, lalu kemudian bercerita bahwa saya baik-baik saja. Padahal saya tidak ditanya," beliau dipetik berkata. Selain itu, beliau juga menuduh kedutaan republik itu di Kuala Lumpur gagal menjalankan tugasnya dengan baik berhubung kesnya tetapi seorang pegawai di Departemen Luar Negeri Indonesia hari ini menafikannya. "Saya memang disuntik hormon itu dan berat badan saya bertambah 15 kg dalam waktu dua bulan. Malah 10 kg pertama kenaikan berat badan saya terjadi dalam waktu empat hari," beliau dipetik berkata petang semalam. Sewaktu diwawancara TV One, Manohara Odelia menegaskan tidak akan kembali semua kepada Tengku Muhammad Fakry walau suaminya itu "datang dengan baik-baik dan meminta maaf", lapor Tempo Interaktif lagi. "Siapapun yang mengalami seperti yang Mano (Odelia) alami tidak akan mau kembali lagi," beliau dilaporkan berkata sewaktu tampil dengan diiringi Daisy (foto kiri). Menurut Manohara Odelia lagi, penderaan yang dialaminya berlarutan walaupun pasangan diraja itu pulang dari mengerjakan umrah di Mekah, 9 Mac lalu. Sumber-sumber kerabat diraja Kelantan dan seorang kenalan putera Sultan Kelantan itu bagaimanapun sering menafikan dakwaan penderaan seperti dituduh ibu Manohara Odelia. Malaysiakini akan cuba mendapatkan reaksi istana atau kenalan Tengku Muhammad Fakhry hari ini berhubung dakwaan terbaru isterinya itu. |
May
31
Manohara dakwa didera putera Kelantan
Posted by
Aj
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Post a Comment