Khairy agih tugas di Bukit Gantang, Selambau
KETUA Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemuda Umno pertama, malam tadi mengumumkan pelantikan naibnya, Datuk Razali Ibrahim, sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Air.
Khairy berkata, Pemuda Umno yang akan menjalankan tanggungjawab itu sebaik saja Perhimpunan Agung Umno selesai hari ini, akan mengambil pendekatan untuk bersama pengundi baru dan memberi penjelasan berhubung pelbagai isu berbangkit.
"Mesyuarat hari ini (malam tadi) memberi tugasan kepada setiap Exco Pemuda yang akan bertugas sepenuh masa di Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Kita akan membantu jentera tempatan dan menjadi pemudah cara daripada belakang bagi memastikan golongan muda mendekati kami," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat itu.
Khairy berkata, beliau juga meminta urusetia Pemuda menghubungi Datuk Seri Mohamad Khir Toyo dan Datuk Mukhriz Mahathir dan beberapa bekas Exco bagi membantu Pemuda dalam ketiga-tiga pilihan raya kecil itu.
Katanya, beliau memerlukan nasihat daripada kedua-dua pemimpin itu dari semasa ke semasa bagi membantu Pemuda.
Ketika ditanya sama ada Mohamad Khir dan Mukhriz akan dilantik dalam Exco Pemuda, Khairy berkata, perkara itu tidak dapat dilakukan kerana faktor usia.
Berhubung dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kemenangannya adalah melalui politik wang, selain turut mempertikaikan proses pengiraan undi yang lama, Khairy berkata, beliau menghormati Dr Mahathir sebagai negarawan Malaysia tetapi pandangan yang dikemukakan itu tidak benar.
"Soalan itu patut dikemukakan kepada Jawatankuasa Pengundian Umno, tetapi memang tidak ada kepincangan dalam proses pengiraan undi kerana ia dilakukan dengan secara telus. Saya dan Exco memperoleh maklumat daripada wakil calon yang tiada kepincangan berlaku," katanya.
Ditanya sama ada beliau memerlukan jawatan dalam Kabinet bagi membantu tugasnya sebagai Ketua Pemuda, Khairy berkata, pelantikan jawatan Kabinet adalah mengikut budi bicara Perdana Menteri.
"Saya berkhidmat untuk Pemuda dengan dibantu barisan Exco bagi 700,000 ahli," katanya sambil menjelaskan akan menentukan portfolio barisan Exconya selepas selesai tiga pilihan raya kecil itu.
Post a Comment