MALAM kelmarin, satu sejarah telah tercipta di Stadium Shah Alam.
Bukan kerana Selangor muncul juara Liga Super buat kali pertama tetapi sejarah yang dimaksudkan ialah Pahang yang buat pertama kalinya tersingkir ke saingan liga bawahan sejak liga semi-pro diperkenalkan pada 1989.
Kekalahan 1-5 kepada Selangor malam kelmarin menyebabkan skuad Tok Gajah bimbingan Dollah Salleh itu menamatkan 26 perlawanan Liga Super musim ini di tangga kedua tercorot.
Secara automatik, dua pasukan tercorot Liga Super akan tersingkir ke Liga Perdana musim berikutnya.
Namun, pada Kongres Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ke-46 pada 21 Jun lalu, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah selaku Presiden FAM biarpun tidak hadir sempat menyampaikan titahnya menerusi Timbalan Presiden FAM, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad yang mahu- kan format Liga Malaysia dirombak musim depan.
Pemerhati dan juga peminat bola sepak tempatan melihat cadangan Presi- den FAM itu secara umumnya mahu me- nyelamatkan pasukan Pahang daripada beraksi di saingan liga bawahan pada musim depan.
Kenapa perlu diubah format liga yang dilihat sudah stabil sedangkan FAM sepatutnya perlu mencari jalan untuk memperkasakan lagi saingan liga sedia ada?
Jika masalah kewangan pasukan-pasukan bertanding dijadikan alasan, kenapa pula format yang perlu dipersalah- kan sedangkan pihak yang terlibat itu sepatutnya mencari jalan bagi menyele- saikan masalah kewangan tersebut.
Tindakan mahu mengubah format liga musim depan sebenarnya 'ulangan' kepada tindakan FAM ketika mereka menukar format Liga Malaysia untuk musim 2007 sejurus berakhir saingan musim 2006.
Pada musim 2004, 2005 dan 2006, FAM menetapkan lapan pasukan sahaja beraksi pada Liga Super tetapi mereka membuat keputusan mengubahnya kepada 14 pasukan untuk musim 2007.
Alasan yang sama digunakan FAM ketika itu iaitu mahu Liga Super lebih kompetitif sedangkan pada saingan 2006 itu, Pahang menduduki tangga ketujuh daripada lapan pasukan dan sepatutnya turun ke Liga Perdana musim 2007.
Disebabkan perubahan format baru itu, Pahang tidak disingkirkan ke Liga Perdana, sebaliknya diberi peluang beraksi dalam saingan playoff bagi menentukan 14 pasukan yang layak beraksi pada Liga Super format baru pada 2007.
Pada perlawanan playoff pertama iaitu pada 18 dan 21 Jun 2006, Pahang tewas dengan agregat 1-2 kepada Brunei DPMM selepas seri 0-0 pada perlawanan di tempat sendiri sebelum tewas 1-2 di tempat lawan.
Namun, Pahang diberi peluang kedua apabila bertemu Sabah pula dalam perlawanan playoff kedua pada 25 dan 28 Jun 2006 dan kali ini mereka berjaya juga ke Liga Super selepas menang dengan agregat 4-3.
Menjelang perbincangan format baru di antara FAM dan barisan setiausaha agung persatuan bola sepak (FA) negeri dan kelab yang akan berlangsung pada 3 Ogos depan, mereka sepatutnya membuat satu keputusan terbaik demi menjaga maruah bola sepak negara.
Buat Presiden FAM, biarlah pasukan yang layak beraksi dalam Liga Super sahaja dibenarkan bertanding kerana jika baginda tetap mahukan Pahang kekal dalam Liga Super, ia hanya akan mencacatkan kemeriahan saingan.
Ini kerana berdasarkan prestasi pasukan Pahang musim ini, hanya saingan Liga Perdana lebih sesuai buat mereka, bukannya saingan Liga Super.
Biarlah Pahang kembali layak ke Liga Super 2011 berdasarkan merit dua pasu- kan teratas Liga Perdana 2010, bukan- nya atas 'ihsan'.
FAM selamatkan Pahang lagi?
Monday, July 27, 2009 | 1 Comments
Manek Urai bakal jadi kawasan pembangunan baru: Muhyiddin
KUALA KRAI: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Manek Urai akan menjadi kawasan pembangunan baru di Kelantan jika Barisan Nasional (BN) diberikan peluang memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan itu Selasa ini.
Tawaran kerajaan BN itu dijangka mampu mengubah bukan saja pembangunan di kawasan itu malah ekonomi dan sosial penduduk, yang majoritinya bekerja sebagai penoreh getah yang sememangnya dahagakan pembangunan.
"Jika itu (pembangunan) yang mereka mahukan, kita (BN) sedia bantu tetapi mereka harus bantu kita dengan menilai apa yang mereka sumbangkan," katanya selepas melancarkan Hari Guru peringkat negeri di Sekolah Kebangsaan Manik Urai Baru di sini, hari ini.
Katanya, dakyah pembangkang yang mengatakan rakyat di kawasan itu tidak mementingkan pembangunan adalah tidak benar kerana rata-rata rakyat yang ditemui beliau dalam tempoh kempen pilihan raya kecil itu mengemukakan pelbagai permohonan projek pembangunan.
"Saya sudah datang sini untuk kali kelima, saya tinjau hampir semua kawasan di Manek Urai, bukan saja peti undi tetapi juga kampung-kampung yang saya lihat masih perlu dan dahagakan pembangunan.
"Dalam pertemuan dengan semua pemimpin tempatan, mereka menyuarakan hasrat supaya kerajaan pusat bantu melengkapkan apa yang tidak cukup, baik dari segi sekolah, kemudahan infrastruktur, jambatan, masjid, surau, di samping pembangunan ekonomi penduduk," katanya.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata keadaan itu jelas menunjukkan rakyat amat memerlukan pembangunan, namun dalam masa yang sama kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pas tidak mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian.
Oleh itu, katanya, ceramah pemimpin Pas langsung tidak menyebut soal pembangunan seolah-olah ia adalah perkara tidak penting dan cuba menutup kelemahan kerajaan negeri yang tidak mampu menyediakan pembangunan.
"Apabila saya turun ke bawah semua orang hendakkan pembangunan nilainya berjuta-juta ringgit. Jadi saya beri dua cara untuk selesaikan masalah mereka.
"Satu mohon pada tok guru (Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat), yang kedua minta bantuan kepada saya serta kerajaan pusat dan kalau betul-betul (memerlukan), kita sedia bantu. Tetapi mereka harus bantu kita dulu," katanya.
Beliau juga mengulangi cabaran supaya Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan supaya menyenaraikan projek pembangunan yang telah dilakukannya sepanjang mentadbir negeri itu.
"Sampai hari ini saya nak cabar balik beliau buktikan apa projek pembangunan yang telah dijalankan sepanjang menjadi Menteri Besar. Adakah masjid yang bina lebih banyak daripada kerajaan BN buat semasa memerintah, kita minta dia senaraikan.
"Kalau dia kata nak membangun bersama Islam, dalam tempoh 20 tahun, cuba dia senaraikan apa yang telah dia buat dari segi undang-undang Islam, hukum, pembangunan keluarga Islam, kemudahan sekolah agama, masjid ke, surau ke?
"Saya cabar itu bukan saya main-main sebab saya nak bagi tahu kepada rakyat di Manek Urai bahawa segala mereka nyatakan tak penting itu adalah satu kenyataan yang tidak benar," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta rakyat supaya tidak terlalu emosional dan terlalu mengagung-agungkan Nik Abdul Aziz kerana dia gagal menjalankan tugas sebagai seorang pemimpin negeri.
Tempoh selama 20 tahun, sudah cukup membuktikan ketidakupayaan Pas membangunkan negeri ini dan jika ada tanda pembangunan sekalipun ia adalah disebabkan sumbangan besar yang diberikan oleh kerajaan pusat di bawah pentadbiran BN.
Sementara itu, mengulas mengenai kehadiran Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa di Masjid Kampung Perial semalam ,Muhyiddin menyifatkan ia sebagai tindakan terdesak dan satu sandiwara untuk menutup keretakan yang berlaku dalam parti itu. - Bernama
Sunday, July 12, 2009 | 0 Comments